Bukan saya tak
nak cuba awak. Saya dah cuba nak ikut apa kata Qaisy. Tapi bila saya
fikir-fikir balik, rasa macam terhegeh-hegeh je ikut cakap lelaki tu. Lelaki tu
kata ke kiri, saya ke kiri. Bila lelaki itu kata ke depan, maka ke depanlah saya
melangkah. Jikalau disuruh saya ke belakang, kebelakang juga lah saya berundur.
Sekalipun Qaisy menyuruh saya bunuh diri kan awak, kemungkinan besar saya akan
bunuh diri. Kenapa? Hanya saya dan Tuhan yang tahu.
Lelaki itu Islam,
awak... Budi pekertinya sangat baik. Hatinya begitu luhur. Jiwanya begitu
bersih, Keikhlasan yang dipamerkan begitu tulus awak.. Cahaya yang lahir dari
kedua belah layar kornea miliknya seakan memancarkan sinar yang begitu indah.
Kadang-kala kan awak.. saya mampu terpana seketika. Sebaris susunan giginya
putih dan bibirnya yang kemerah-merahan seakan mengundang godaan dalam hati saya
awak... Seputih kulit mulus miliknya, seindah sentuhan jemarinya. kukunya? Usah
dibicarakan. Kemas dan teratur. Penjagaan dirinya rapi awak.. Tutur bicaranya
sopan.
Siapalah yang
tidak terpikat? Sedangkan gadis kasar sekasar natrah juga mampu berubah kerana
tegurannya, hanya sekadar tegurannya, apatah lagi saya yang sentiasa
disampingnya. Senantiasa disampingnya selsaya pembantu dirinya.
Qaisy Muhamad
Adam. Lelaki itu kacukan Palestin. Bapanya kelahiran Gaza. Saat terdengar
kekecohan berita Gaza di ceroboh tentera Israel, sering saya lihat wajah Qaisy
murung dan sayu. Awak.. bila saya tenung wajah Qaisy sedemikian rupa, hati saya
turut pergi bersama nada perasaan yang berlagu dijiwanya. Saya seakan dipanah
rasa sedih yang teramat hebat. Tapi, dia tak pernah kedekut senyuman pada saya.
Awak.. Qaisy orang yang baik-baik. Saat saudaranya menderita di bumi Gaza, saya
lihat Qaisy sering ke surau asrama. Berteleku sepanjang masa. Menghabiskan bacaan
surah dari kitab milik mereka. Al-Quran. Entah bila awak... Terasa keinginan
menyentuh kitab suci itu dalam diri saya. Tetapi saya tak layak...
“Vivian.. boleh
awak tolong saya lekatkan ini pada papan kenyataan sekolah..” suaranya lembut.
Jikalau saya sedang berada dalam keadaan panas hati sekalipun, saya mampu
tersenyum dan mengiakan kata-katanya. Dia lelaki yang istimewa. Cukup pakejnya
sebagai lelaki idaman wanita. Kalaulah saya mempunyai peluang untuk
memilikinya. Terasa indahnya hidup yang saya hadapi sekarang ini awak..
Tapi awak..
kelembutan miliknya tak mampu saya perolehi sekalipun saya miliki, kerana
memang bukan saya dicipta untuknya. Sedari kecil, kami dibesarkan bersama.
Bermain bersama, belajar bersama malah hampir kesemuanya saya lakukan bersama dirinya.
Seolah-olah Tuhan telah beri petunjuk pada diri saya bahawa saya untuknya. Tapi
tak semudah itu awak... Qaisy orang islam, dan saya bukan Islam. Saya teringin
malah kempunan untuk merebut kedudukan di kerusi bernama Islam. Tapi mummy dan
daddy tak pernah benarkan. Bagi mereka, keluarga Qaisy hanya orang gaji! Tidak
lebih dari itu.. Malah Qaisy tidak layak berdamping dengan saya! Dan saya
dijodohkan dengan awak..
Awak tahu betapa saya
bencikan awak! Sebesar benci saya terhadap agama yang saya anuti! Sebesar gunung
yang tak mampu awak tempuhi! Sebesar alam cakerawala pun saya tak pasti! Demi
Tuhan.. Saya tak sanggup hidup dengan awak.. Bagi saya, awak bukan siapa-siapa.
Sedari zaman kanak-kanak hinggalah ke zaman Universiti, yang terpahat dihati saya
hanyalah Qaisy Muhamad Adam. Bukan awak! Awak memaksa saya mencintai diri awak
sedangkan awak adalah orang yang paling saya benci! Sudahlah Darius.. Saya
perlu hidup saya sendiri.. Benarkan saya terus mencintai Qaisy biarpun bukan
nama saya di hati miliknya. Saya tak sanggup lagi melukai hati awak, juga saya
tak tegar mencakar hati milik saya sendiri. Fahamlah suamiku... Saya bukan
untuk awak sebagaimana Qaisy bukan untuk saya...
Awak kata saya
bodoh? Ya! Saya terlalu bodoh, bodoh sangat-sangat, awak.. Saya tak pintar
membuka langkah, menutur bicara kepada orang tua saya yang saya masih belum
sedia menjadi seorang isteri kepada lelaki yang saya tak cintai. Saya sedar
Darius... Qaisy Muhamad Adam sudah tiada.. Sudah pergi menghadap Ilahi.. Tapi
benarkan saya terus mencintai dirinya, juga mencintai agama yang dianutinya.
Agama milik Nabi Muhammad SAW. Saya percaya dengan kewujudan Nabi Muhammad SAW
sebagai suruhan Allah SWT, dan saya percaya dengan kewujudan Allah sebagai
tuhan yang wajib disembah. Maafkan saya Darius...
Meskipun bukan saya
yang memiliki Qaisy..
Tapi benarkan
agama Islam memiliki diri saya...
Cinta saya bukan
sahaja pada Qaisy..
Juga pada agama
anutannya..
Selamanya...
Maafkan saya....
No comments:
Post a Comment