Hiasi Rumahmu dgn Cahaya Jannah


Selawat & Salam

Selawat & Salam

Saturday 8 June 2013

"Hadiah untuk ibu,"-Along


"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?" Marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. "Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?" Leter ibu lagi. 

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Tiba-tiba dia melihat si ibu bergegas pergi mencari sesuatu dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. "Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu. 

Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. "Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakit, sekarang nah, rasakan!" Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah
Along menjerit kesakitan. "Sakit bu, sakit…maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi.Bu, jangan pukul bu..sakit bu.. "

Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. "Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?" Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu. "Bu, ampunkan Along bu,bukan Along yang mulakan, bukan Along bu, sakit bu..!!" Rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. 

Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya. 

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam.. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah..Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. 

Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. 

Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. 

Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga. 

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. 

Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka. "Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?" Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. 

Sementara Along di sebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. "Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?" "Eh! jangan, nanti dulu… Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!" Si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan…"Anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya" bisik hati kecil Along. "Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?" Soalnya lagi. Atih masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. 

Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. "Oooo.. patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?" Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. "Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!" Terang si ibu. "Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni untuk Along pun!" Soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. 

Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. "Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas" Arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya. 

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. "Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni" Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. 

Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. "Laa..kau ke, apa kau buat kat sini?" tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. "Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?" soalnya pula. "Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak beli dan hadiahkan kepada mak aku" Jelas Along jujur. "Waa..bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli, aku bagi potongan harga 50%. Macam mana?" Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. "Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!" Along meminta kepastian. 

"Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!" Balas Fariz meyakinkannya. "Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk bahunya sambil tersenyum. "Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit." Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. Pada kau ada berapa ringgit sekarang ni?" soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. 

Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. "Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!" pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum. 

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja.

Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. "Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?" Soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. "Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah" Leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selambar seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. 

"Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu" Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. "Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu”" Sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. 

Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya. Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru.. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. 

Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar B. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. 

Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari. Justeru dia terpaksa berbohong agar ibunya tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya. Tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal. Upahnya lima belas ringgit sehari. Along rasa sangat bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membelikan jubah untuk ibu.

Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali memandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain. 

Seperti hari-hari yang sebelumnya, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sydah lebih 10 hari Along bekerja di situ. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. "Azam, kalau aku tanya kau jangan marah ke?" Soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. "Macam serius jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan. "Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?" 

Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulutnya tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. "Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. 

"Azam, kau ada cita-cita tak ataupun ada impian apa-apa ke?" Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. "Ada!" Jawab Along pendek. "Kau nak jadi apa satu masa nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku atau apa?" Along menggeleng-gelengkan kepala. "Semuanya tidak! Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. 

"Ala, gurau ja la Abang Joe… Sebenarnya, saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan saya nak jadi anak yang soleh!" Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah. 

Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. "Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah …terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni" Ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. 

Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. "Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe" Kata Along lagi. "Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?" soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah-anggap tentang soalannya tadi. 

Along hanya senyum memandangnya. "Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju" Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh. 

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. "Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari
rumah ke?" Soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. "Along hanya tersengeh menampakkan giginya. "Azam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk siMalik tu?" "Tak pe lah, perkara dah berlalu.lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni”, Terang Along dengan tenang. 

"Kau jadi mangsa Azam. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah”, kata Fariz lagi. "Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah, aku sangat sayangkan Ibu aku!" "Azam..kau ni.." "Aku ok, lagipun aku tak mahu menyusahkan lagi ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah tu lagi" Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. 

"Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, ok!" pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. "No problem, tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?" Soal Fariz ingin tahu. "Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia” Terang Along. "Abang Joe mana ni?" "Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!" Jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk. "Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?" 
"Hari ni laĆ¢.." Balas Along. 
"Ooo hari lahir ibu kau hari ni ya?" 
"Bukan, minggu depan" 
"Habis? Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?" Soal Fariz lagi. 
"Aku rasa hari ni je yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi" Jawabnya sambil mengukir senyum. 

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motorsikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang dipandu laju cuba mengelak daripada melanggar seekor anjing yang tiba-tiba muncul di depannya. Pemandu kereta itu menekan brek dan mengelak tapi dek jalan yang licin, ia hilang kawalan. terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. 

Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakainya mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya. Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu. Dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. 

Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul wanita tersebut. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu.

Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih di genggamannya itu. "Ha..ha..hadiiiiah uuuntuk iiiiiibu" Itu saja yang termampu diucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Sebaik habis mengukir senyuman bahagia itu, Along terasa kesakitannya sudah tidak tertahan lagi. Suara ibu, Angah, Alang dan Atih semakin sayup terdengar. Matanya sudah sangat berbinar. Di gagahnya menahan matanya untuk terus menatap wajah ibunya selama yang mungkin. 

Along sudah kelihatan hampir tidak sedarkan diri. Si ibu begitu cemas bercampur sebak dan sedih. Kepala dan tubuh Along dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya. 

Along di bawa ke hospital dan disahkan sudah meninggal dunia. Siibu menangis semahu-mahunya menyesali tindakannya terhadap Along. Dia lebih menurut nafsu dan emosi. Along sudah pergi untuk selama-lamanya. Tangisan dan penyesalan tidak akan mengembalikan Along ke pangkuannya semula. Sebaik pengebumian jenazah Along, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. 

Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita separuh umur itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. "Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami.. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan dia jugak cakap, ibunya iaitu mak cik sebagai seorang perempuan gila. Azam pukul Malik sebab tak sanggup mendengar Malik menghina ibu dan ayahnya"

Cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. "Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz? Soalnya dengan sedu sedan. "Sebab..Azam tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa itu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula" Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu. 

Siibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Lidahnya kelu untuk berkata-kata lagi. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap anak derhaka. 

Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ˜Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap Along selama ini. Andai Along melukakan hati ibu, Along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf Along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu dan terimalah hadiah ini dari anakmu yang banyak menyusahkanmu....UNTUKMU IBU!" 

Kad itu dilipat dan dicium. Air matanya sekali lagi melunjur deras berjurai membasahi pipi. Sekali lagi siibu menangis semahu-mahunya. Segala perasaan sedih, pilu, sayang, menyesal dan marahkan diri bercampur baur di dalam dadanya. Setelah beberapa lama, siibu tenang semula. Di dalam hatinya siibu berkata "Ya Allah!! Aku mohon ampun padamu atas apa yang sahaja kesalahan aku kepada anak ini. Kau saksikanlah Ya Allah bahawa aku meredainya sebagai anak yang soleh.. Engkau tempatkanlah Along anakku ini di dalam syurgaMu yang kekal abadi!"

Mereka terus terkenangkan Along... sedangkan di depan mereka di sebalik alam nyata, berdiri ruh Along memerhatikan Ibunya dan mereka. Along hanya tersenyum melihat keluarganya yang sudah menyaksikan kebenarannya. Along berbahagia menerima kiriman doa yang sangat berharga dari Ibunya..... Ruh Along terus terbang jauh-jauh menuju kesejahteraan dan kebahagiaan yang sebenarnya di alam sana...

-Copy from Facebook-

Istikharah

Baru-baru ini saya sering terdengar berkenaan kisah ‘CINTA TAK MENJADI’. Maksudnya cinta tak kesampaian ke jenjang pelamin. Situasi yang dapat saya berikan di sini adalah seperti berikut :-

Situasi 1
“Kami dah bercinta selama 7 tahun, sejak sekolah menengah lagi. Kami betul-betul sayang dan cinta antara satu sama lain. Ibu bapa kami pula tidak menghalang percintaan kami. Apabila kami masuk ke Universiti, walaupun kami belajar di Universiti yang berbeza, cinta kami tetap teguh. Tapi, bila tiba masa nak berkahwin, macam-macam halangan mendatang. Contohnya, jiwa jadi tak bersedia. Masa tak sesuai, wang tidak mencukupi dan sebagainya lagi. Padahal masing-masing dah meletakkan bajet masing-masing.”

Situasi 2
“Kami bertemu atas dasar pilihan keluarga. Apabila berlaku taaruf antara kami, kedua-dua kami telah jatuh cinta antara satu sama lain. Mungkin atas dasar rupa. Namun, apabila tiba waktu perkahwinan, hati jadi tak tenteram. Jiwa jadi tak tentu hala. Bagaikan tak mampu untuk menggalas tanggungjawab untuk menjadi suami/isteri kepada pasangan masing-masing,”

Seperti apa yang kita dapat lihat melalui situasi yang diberikan, jelas bahawa tak semestinya perasaan cinta itu akan membawa kepada insitusi perkahwinan yang berjaya. Tetapi perkahwinan itu boleh membawa kepada percintaan yang berjaya. Pernahkah anda mendengar mengenai pepatah ini :-

“Aku mungkin tidak akan bernikah dengan orang yang aku cintai,
Akan tetapi aku pasti akan mencintai orang yang aku nikahi”

Pepatah yang mampu memberikan sejuta makna kepada saudara/saudari kita yang sedang begitu hangat bercinta. Terlupa mereka bahawa tak semestinya percintaan itu lulus kepada perkahwinan. Jadi, cinta itu tak perlu juga sebenarnya sebelum perkahwinan. Tapi, bukanlah saya kata cinta itu tak perlu lansung kerana kita perlu tahu dan sedar bahawa perasaan cinta itu suatu anugerah dari Allah SWT kepada makhluknya. Sesuai dengan firman-Nya :-

"Dan Kami menciptakan kamu berpasang-pasangan,"
(Surah An-Naba'_Ayat 8)

Cuma apa yang saya tekankan di sini adalah betapa ‘melampau’nya cinta saudara/saudari di dunia ini melebihi cinta kepada Allah SWT. Cinta itu perasaan kasih dan sayang. Bukan sahaja kita khususkan pada mencintai pasangan kita tapi juga mencintai Tuhan kita iaitu Allah SWT. Mungkin anda pernah dengar akan pepatah ini:-

“Cukup mencintai aku dalam diam dari kejauhan dengan penuh kesederhanaan dan keikhlasan”

Pepatah ini cukup membawa erti. Cinta itu memang indah. Cinta itu mampu membawa kita kepada ketenangan. Tapi jika cinta itu kita curahkan pada yang sepatutnya. Iaitu kepada Allah SWT dan pada yang sedia halal. Anda tidak boleh salah faham dengan konteks Cinta yang cuba saya tekankan dalam artikel kali ini kerana sesungguhnya jika cinta yang kita curahkan itu tidak kena pada tempatnya, ianya mampu membawa kepada kesengsaraan jiwa,nafsu dan perasaan lantas membuka ruang kepada syaitan untuk melaksanakan tugasnya.

Berbalik kepada tajuk yang dibawa, kita sebagai manusia kita tak tahu rahsia Allah SWT. Terutamanya berkenaan jodoh kita. Seperti situasi yang saya berikan, walaupun ketika mereka bercinta mereka yakin akan jodoh mereka, namun dalam sesaat Allah SWT mampu mengubah perasaan hati mereka kepada tidak yakin. Kerana apa? Kerana sesungguhnya jodoh itu rahsia Allah SWT. Mungkin tak tertulis nama mereka di Luh Mahfuz. Jadi, apa yang paling penting?? Bagaimanakah caranya kita nak tahu siapa dan apakah petunjuknya?

“Kita datang dari Allah SWT, dan kita kembali juga kepada Allah SWT,”

Justeru itu, kita kembali kepada Allah SWT. Jodoh itu rahsia Allah SWT, jadi kita minta petunjuk dari Allah SWT supaya membuka rahsia-Nya agar hati kita tak mudah rebah. Tak mudah jatuh pada cinta duniawi. Biar hati kita khusus pada Dia. Mintalah petunjuk-Nya.

Kaedah?? Apakah kaedahnya kita nak minta Allah SWT buka rahsia berkenaan jodoh kita?? Beri petunjuk pada hati kita yang goyah dan mudah menerima cinta insan yang kita belum pasti menjadi jodoh kita. ISTIKHARAH.

Niat Solat Sunat Istikharah :-

USHALLI SUNNATAL ISTIKHARAATI RAK’ATAINI LILLAAHI TA’AALA. ALLAHUAKBAR.

(Sahaja aku sembahyang sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Taala)

Doa Solat Sunat Istikharah :-


Syarat-syarat Istikharah.



Sesungguhnya yang baik datang dari Allah SWT dan yang buruk itu dari diri saya sendiri. Salam Ukhuwah.

Thursday 6 June 2013

Ujian itu Lumrah Dunia bagi mereka yang BERIMAN

Sebagai seorang manusia, sebagai hamba Allah SWT, kita tak pernah lepas dari sebarang ujian.

Ujian dari Allah SWT dapat saya bahagikan kepada dua bahagian yang secara fizikal dan juga secara mental. Secara fizikal yang saya maksudkan di sini adalah sesuatu ujian, dugaan, atau cabaran yang melibatkan tubuh badan seperti kehilangan anggota badan, dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Manakala ujian secara mental yang saya maksudkan adalah perkara-perkara yang melibatkan hati dan perasaan. Contohnya berkenaan kehilangan ahli keluarga, dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.

Sebarang ujian yang datang dari Allah SWT perlulah kita kembali kepadanya tak kira ujian secara fizikal mahupun secara mental kerana sesungguhnya Allah SWT ingin menguji sebanyak dan sekuat mana kekuatan iman kita. Perkara ini ditegaskan dalam firman Allah :-

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan , "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji?
(Surah Al-Ankabut_Ayat 2)

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa setiap manusia yang wujud dan hidup di dunia ini, maka Allah SWT akan mengujinya. Jadi sesungguhnya, kita patut kembali kepada Allah SWT dalam setiap urusan dan ujian yang mendatang. Walau betapa sukar dan payah kita nak tempuh ujian tersebut, Janganlah sekali-kali kita menganggap bahawa ujian Allah SWT adalah seksaan pada kita, kita kembali saja pada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap perkara yang berlaku di dunia ini.  Allah pasti akan memberikan bantuan pada hambanya seperti mana Allah SWT memberikan bantuan pada orang-orang terdahulu.

Dan di antara manusia ada sebahagian yang berkata, "Kami beriman kepada Allah," tetapi apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah, dia menganggap cobaan manusia itu sebagai siksa Allah. Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu, nescaya mereka akan berkata, "Sesungguhnya kami bersama kamu." Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada di dalam dada semua manusia?
(Surah Al-Ankabut_Ayat 10)

Berbalik kepada ujian hati dan perasaan, kita memang selalu menghadapi masalah ini. Sering-sering kita menghadapi masalah ini ketika kita sebagai manusia semakin meningkat dewasa. Ujian ini makin hebat ketika kita kian mengenal apa itu erti kasih sayang, cinta dan sebagainya. Hati dan perasaan kita sering terganggu dek terlalu memikirkan berkenaan orang-orang 'hidup' dalam pemikiran kita selaku orang yang kita sayang. (mencari jodoh)

Selalunya kita selalu di uji dengan munculnya perasaan terhadap seseorang yang kita tidak kenal. Maksudnya perasaan kasih dan sayang yang wujud selain daripada ahli keluarga kita. Perasaan kasih sayang dan ingin berpasang-pasangan yang hadir terhadap seseorang hamba Allah SWT yang lainnya merupakan lumrah alam, sesuai dengan Firman Allah SWT:-

"Dan Kami menciptakan kamu berpasang-pasangan,"
(Surah An-Naba'_Ayat 8)

Jadi memang jelas, tiada unsur kesalahan yang wujud apabila kita mula menyayangi seseorang. Tetapi, unsur kesalahan itu akan wujud sekiranya cara kita mendapatkan kasih sayang itu bertentangan dengan syariat Allah SWT. Dan cara yang kita nak laksanakan yakni cara kita nak dapatkan kasih sayang inilah yang saya katakan sebagai salah satu ujian mental dari Allah SWT. Mengapa saya katakan sedemikian?

Jelas bahawa sesungguhnya perasaan merupakan satu perkara yang akan mengganggu setiap perlakuan dan tingkah laku kita. Perasaan mampu membawa kita ke ruang pahala dan mampu juga membawa kita ke lembah dosa. Perasaan adalah suatu perkara yang sukar nak kita tafsirkan kerana ianya melibatkan ruang hati. Sesuatu yang kita tak nampak dan sebenarnya sukar kita nak bentuk dengan tangan kita. Perasaan hanya boleh dikawal dan dibentuk melalui iman yang ada. Iman itulah yang menjadi 'tangan' untuk kita bentuk bagaimana acuan hati kita supaya tidak melanggar syariat Allah SWT.

Seharusnya setiap manusia sedar bahawa sesungguhnya setiap apa yang berlaku didunia, walaupun hanya setitis air jatuh ke bumi, walaupun hanya seekor nyamuk datang menggigit, walaupun hanya ada malam selepas siang, ianya sebenarnya ujian dari Allah SWT. Tapi hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui mengapa ia berlaku sedemikian. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu mengapa perlu hanya air setitis yang jatuh ke bumi, mengapa hanya seekor nyamuk datang menggigit, mengapa perlu ada siang selepas malam. Semuanya rahsia Allah SWT.

Allah mempergantikan malam dan siang. Sungguh pada yang demikian itu, pasti terdapat pelajaran bagi orang yang mempunyai penglihatan (yang tajam).
(Surah An-Nur_Ayat 44)

Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu.

Dan Dialah yang berkuasa atas hamba-hambaNya. Dia Mahabijaksana, Maha Mengetahui.
(Surah Al-An’am_Ayat 18)

Maka jika datang ujian berkenaan fizikal mahupun mental, redha, bersabar, berdoa dan bertawakkallah menghadapinya. Janganlah mengeluh atau menyalahkan Allah SWT atas segala yang berlaku. Sesungguhnya Allah SWT telah menyediakan sesuatu yang terbaik untukmu di sebalik ujian yang diberikan. Kembalilah kepada Allah SWT dalam setiap urusan.

Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.
(Surah Al-Fatihah_Ayat 5)

Dan milik Allah-lah kerajaan langit dan bumi, dan hanya kepada Allah-lah kembali (seluruh makhluk)
(Surah An-Nur_Ayat 42)

Dan laksanakanlah salat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat.

(Surah An-Nur_Ayat 57)

Saturday 1 June 2013

gadis itu

Dia anugerah,
Bagai tiada cela,
Mustahil pencipta itu tidak adil,
Sedang ALLAH SWT itu Maha Adil..

Dia anugerah,
Bagai sempurna,
Mustahil dia selalu gembira,
Bagai tiada duka,
Sedangkan dunia ini..
Sarat ujian..

Dia anugerah,
Bagai penyejuk jiwa,
Salju..
Penzahir ketenangan,
Rahasia Tuhan,

Dia mungkin kerap di uji,
Mungkin imannya dicabar,
lebih teruk dari aku,
Laksana nakhoda dihempap gelombang ombak tsunami,
Gara-gara kesempurnaan yang tuhan beri.

Tapi mungkin dia kuat!
Dia percaya!!
Rukun..
Dalam genggaman!

KUPERLU JADI SEPERTI DIA!

Arill Sayang Arinna (Sambungan)


“Kau boleh bagi aku duit banyak tu kalau aku layan kau,” aku tengok muka seorang anak Tan Sri. Hanya pada dia harapan aku letakkan sekarang ini. Aku perlu berkorban demi Arill. Aku tahu ini bukan jalan terbaik. Tapi ini sahaja yang aku mampu buat. Pagi tadi aku Nampak Arill keluar dari rumah. Aku ekori Arill. Aku ingat Arill nak buat masalah lagi, rupa-rupanya Arill tengok murid-murid masuk sekolah. Hati aku jadi sayu. Siapa tak sedih melihat Arill jadi begitu. Aku tak nak Arill tertekan. Aku nak Arill bahagia disamping aku. Tapi aku tak mampu, aku tahu cerita Makcik Mariam tidak benar. Aku tahu kerana aku sendiri Nampak Haris yang beria-ia mahu membakar mercun didalam rumah. Aku kasihan melihat Arill. Aku tahu sepatutnya dia masuk ke darjah satu tahun ini. Aku lihat Arill cukup suka dan rajin bersekolah. Kadang kadang aku bangga dengan Arill. Jadi aku ingin mencari duit untuk menampung persekolahan Arill dengan menjual tubuhku sendiri. Aku sanggup berkorban demi Arill.
“Arinna.. aku boleh bagi kau duit tu. Tapi aku tak sanggup tengok kau jual tubuh kau pada aku.. aku pinjamkan kau duit tu... nanti bila kau dah ada duit balik, kau bagi balik dekat aku,” ujar anak Tan Sri tu. Aku tahu aku salah berzina. Tapi aku tiada pilihan demi sekolah adikku Arill. Aku terlalu menyayanginya sehingga tak terbanding dengan nilai maruah aku. Aku hanya mahu Arill bahagia. Hanya itu yang aku mahu demi Arill. Aku sanggup buat apa sahaja demi Arill. Bukan aku tidak mencuba mencari kerja yang lebih halal. Tetapi aku tidak layak diterima hanya dengan kelulusan SPM aku yang hanya cukup makan.
“Aku tak ada jalan lain lagi. Kalau aku pinjam sekalipun duit kau. Aku tak jamin dapat pulangkan..”aku tunduk waktu lelaki tu pandang aku. Memang aku malu. Tetapi ketebalan muka aku ini demi adikku yang tersayang. Aku tak nak ada setitis pun air mata Arill yang tumpah. Aku bukan kakak yang kejam. Aku Cuma mahu Arill hidup berdikari. Sebab aku tahu aku tak mungkin dapat jaga Arill sampai mati.
“Arinna. Aku sayang kau tak bererti kau patut jual tubuh kau untuk dapatkan duit. Kenapa kau perlukan sangat duit tu?”lelaki itu menyoal aku. Aku jadi serba salah dik. Aku jadi takut dik. Arill.. perlukah akak kata kerana akak mahu Arill bersekolah? Aku pandang wajah lelaki itu lantas menghembus sedalam nafas yang ku miliki.
“Adik aku.. Perlukan sekolah. Aku perlukan RM1000 tu untuk sambung dia belajar semula. Aku nak belikan dia barang-barang keperluan sekolah. Aku nak belikan baju baru untuk dia. Dia Cuma ada empat helai baju lepas kebakaran dekat kampong aku dulu. Kasihan aku tengok Arill.. dia sangat rindukan sekolah. Dia baru sahaja bersekolah tidak sampai setengah tahun.” Aku tunduk. Tanpa sedar air mata aku menitis. Semua demimu Arill. Akak malu. Memang akak malu lepas lelaki tu akur dengan kata-kata akak. Lelaki tu genggam tangan akak dan bawa akak ke dalam kereta miliknya. Dia usap pipi akak, tapi dia lepaskan kembali dik. Betapa akak gementar saat itu dik. Takutnya akak hanya Tuhan saja yang tahu. Akak tak sangka air mata akak tumpah bila dia hulurkan cek bernilai RM1000 pada akak. Akak betul-betul terkesima. Akak pandang muka lelaki tu dik. Lama. Akak minta penjelasan dari matanya dik.
“Saya tidaklah sebaik mana, tapi tidak juga sejahat sampaikan sanggup menggelapkan masa depan dua orang anak yatim piatu. Anggaplah ini hadiah dari saya untuk Arinna.” Akak malu sangat Arill. Tapi akak bersyukur sebab mangsa akak malam ni tidak sanggup mengambil kesempatan ke atas kakak.
***************************************************************************
Arill pejam mata Arill lama-lama kak. Sebentar tadi Arill terbangun. Arill nak sangat pergi tandas. Dah tak tahan sangat. Arill kencing pun macam nak berterabur. Arill takut kalau-kalau ada hantu datang makan Arill. Lepas kencing Arill cepat-cepat siram bilik air. Arill tak nak kencing dekat tandas, sebab Arill takut nanti ada tangan keluar dari lubang tandas tu. Arill takut.
Arill masuk bilik balik. Arill pejam mata Arill lama-lama, erat-erat, rapat-rapat. Arill berselubung dengan selimut akak yang Arill ambil dalam almari. Arill nak bau akak. Arill nak selalu dekat dengan akak. Sebab bila Arill dekat dengan akak, Arill mesti rasa selamat kak.. Kak..Dekat mana akak ni? Arill nak akak.. Arill rindu akak. Akak dekat mana kak? Arill tarik hingus Arill dalam-dalam.
Akak.. akak nak tahu tak? Dulukan Arill orang yang paling bangga sebab Arill seorang je ada kakak dekat sekolah. Bila cikgu Arill tanya, “ Siapa yang ada kakak atau abang yang dah habis sekolah?” Cuma Arill yang angkat tangan. Arill seronok sangat bila Arill seorang je ada kakak. Kawan kelas Arill yang lain semua tak da. Arill seorang je kak. Masa tu Arill terasa sangat nak peluk akak. Bila Cikgu keluar semua kawan-kawan Arill datang jumpa Arill, sibuk betul dorang tanya pasal akak. Dorang tanya seronok tak ada kakak? Arill cakap seronok sangat kak. Arill seronok sangat-sangat. Arill bangga sangat.
Arill kesat air mata Arill.
Akak nak tahu lagi tak.. Arill suka sangat bila akak balik kampong mesti akak tak lupa nak belikan Arill keropok. Walaupun Arill boleh dapat keropok tu dekat kedai Pak Dollah, tapi Arill rasa seronok sangat kak. Sebab keropok tu akak yang bagi. Bila akak bagi keropok tu mesti Arill takkan makan. Arill simpan keropok tu sampai rasa lemau dalam almari Arill, Arill sayang sangat dekat keropok yang akak bagi. Bila waktu malam mesti Arill cium keropok tu baru Arill tidur. Sayang akak sangat...
Arill tarik hingus Arill.. Sedih sangat kak...
Akak nak tahu tak.. Arill sedih sangat bila akak nak pindah ke Bandar. Masa tu Arill terfikir, bila lagi akak nak balik? Bila lagi akak nak jumpa Arill? Rindu Akak sangat... Rindu sangat-sangat. Waktu Arill teringatkan akak macam ni, Arill terasa sayu sangat kak. Entah bila akak nak beli keropok lagi dekat Arill. Isk...isk.. Arill teringin nak peluk kak. Tapi bila Arill dekat dengan akak, akak halau Arill jauh-jauh. Arill Cuma sayang akak saja. Betapa Arill hargai akak dalam hidup Arill. Tapi kenapa akak tak pernah suka dan sayang pada Arill?
Arill capai majalah lama. Arill koyak bahagian belakang sekali. Arill ambil pen yang hampir kehabisan dakwat. Arill lakar muka akak dan muka Arill. Arill dapat rasa setitik lagi air mata Arill menitik. Arill betul-betul sedih kak. Akak tinggal Arill sendiri. Tapi Arill kuat bila ada bau akak dekat Arill. Arill tulis ‘Arill sayang Akak’ dekat lukisan Arill. Lepastu Arill peluk kuat-kuat sambil Arill menangis teresak-esak.
Tiba-tiba Arill dengar pintu utama terbuka. Cepat-cepat Arill berhenti menangis. Mungkin itu kakak. Kakak dah balik. Yeah...yeah... Seronoknya hati Arill waktu tu kak. Arill terasa macam nak keluar dan lari jumpa akak. Tapi Arill tahu mesti akak tak nak jumpa Arill. Jadi Arill pun duduk diam-diam dalam bilik. Arill pejam mata Arill. Buat-buat tidur. Arill dengar akak menapak masuk dalam bilik. Akak hembus nafas. Arill terkejut sangat kak. Akak usap dahi Arill. Akak kucup dahi Arill. Arill terasa macam nak menangis sangat-sangat kak. Arill dapat rasa kak. Betapa Arill terharu waktu tu kak. Dada Arill rasa membahang. Sakit. Tapi Arill tahan je kak. Arill seronok bila akak kucup dahi Arill. Usap dahi Arill. Arill dapat rasa akak ambil kertas yang Arill koyak tadi. Arill takut akak marah sebab majalah tu akak punya. Tapi Arill terkejut kak...Arill dapat rasa akak peluk Arill kuat-kuat. Sakit yang Arill rasa beransur hilang. Arill suka akak dakap Arill macam ni. Kakak.. Arill sayang kakak sangat...Arill dengar akak menangis? Akak......
Malam tu kan kak.. Arill tidur dalam senyuman.
Pagi-pagi lagi akak dah marah-marah Arill suruh masuk mandi. Akak kata akak nak bawak Arill keluar. Bestnya.. Walaupun akak ajak dalam tengking-tengking. Tapi Arill suka sangat kak. Sebab.. akak yang ajak...hehe
Mula-mula akak bawak Arill pergi bank. Entah la buat apa. Tapi Arill Nampak akak serah satu surat. Surat cinta kut..hehehe...Lepas tu akak bawa Arill ke satu gudang pakaian. Nama gudang tu Hari-hari. Macam tu lah lebih kurang. Best sangat kak. Masuk-masuk je gudang pakaian tu terus rasa air-cond. Sejuk kak. Arill pegang je tangan akak. Erat sangat. Arill suka. Akak belikan Arill baju T-shirt baru. Ada warna oren, merah, biru, kuning. Macam-macamlah. Lawa sangat. Lepastu akak belikan Arill seluar tracksuit. Warna hitam satu, warna biru gelap satu. Cantik kak. Akak tak lupa belikan selipar baru untuk Arill. Lawa selipar tu kak. Ada kartun Ultraman kat depan selipar tu. Best sangat kak.
Tapi kak.. Arill macam tak percaya je bila akak bawa Arill masuk ke bahagian baju sekolah. Akak belikan sehelai baju putih, seluar sekolah rendah, kasut sekolah dan stoking. Cantik kak baju tu. Rindu sangat nak pakai. Lepas tu akak belikan Arill beg sekolah baru. Arill suka sangat kak beg sekolah yang tulis Ultraman besar-besar kat belakang beg tu. Walaupun beg tu bukan beg tarik tapi Arill suka sebab.. Beg tu kakak yang beli. Khas untuk Arill! Seronok sangat...
Lepas kami pergi beli barang-barang akak bawak Arill ke sebuah sekolah tak jauh dari rumah Arill. Akak pimpin tangan Arill masuk ke pejabat Guru Besar. Akak berbual dengan Guru Besar panjang lebar. Tapi akak tak lupa pandang Arill dan sebut nama Arill pada Guru Besar. Arill senyum je bila akak pandang Arill. Arill suka bila akak pandang Arill. Bahagia sangat. Lepas keluar dari pejabat Guru Besar, terus akak cakap. “ Arill boleh mula sekolah esok..” Arill terkejut sangat kak. Terkejut sangat. Betapa Arill bersyukur waktu tu kak. Debaran dada Arill makin menggunung. Dekat kaki lima pejabat tu juga Arill peluk kaki kakak sambil Arill menangis. Arill sedih bercampur gembira. Inilah perasan yang aneh wujud dalam hati Arill. Pertama kali akak. Tapi waktu tu akak tolak Arill sambil cakap. “Isy.. Kau ni buat drama apa kat sini..lepaslah...” Arill tahu akak malu, jadi cepat-cepat Arill lepaskan. Dapat berita ni pun dah cukup buat Arill rasa gembira sangat-sangat.
***************************************************************************
Akak pun tak tahu Arill. Sukar akak gambarkan betapa akak gembira lihat Arill peluk kaki akak tadi. Akak terharu Arill. Terharu sangat-sangat. Waktu tu akak terasa sangat nak peluk Arill balik. Nak kucup Arill. Nak suruh Arill berhenti dari menangis. Sebab Arill adik akak. Satu-satunya adik akak. Adik kesayangan akak. Arill kakak. Tapi akak tahan dik.. Akak tak nak Arill besar kepala dengan pemberian akak ni. Akak nak Arill berdikari sendiri. Akak Cuma nak lihat Arill senyum dik.. Cuma itu. Akak tak sanggup nak lihat Arill menangis dan mengalirkan kembali air mata sedih. Akak Cuma ada Arill. Akak tahu Arill suka Ultraman.. sebab tu akak pilih Ultraman untuk hampir kesemua barang yang akak beli untuk Arill. Akak kalau boleh, nak bagi semua apa yang Arill nak. Tapi akak tak mampu dik. Akak tak sanggup nak beri adik pada orang lain, tak juga akak mampu nak jaga diri Arill. Akak dalam dilema. Tapi dik.. akak bangga sangat dengan Arill. Arill kuat semangat. Walau apa yang akak dah lakukan, Arill tetap kuat nak tempuh hari-hari mendatang. Akak tak nak berpisah dengan Arill, sebab Arill nyawa akak. Arill cinta akak. Arill diri akak. Arill segala-galanya untuk akak. Wang hasil belas ihsan Badrul masih ada baki selepas ditolak perbelanjaan barang-barang Arill dan sewa rumah. Lega hati akak dik.. Akak senang bila Arill senang.
Akak sayang Arill...

DUNIA NI PENUH UJIAN


DUNIA INI,
TAK LEKANG UJIAN,
BAGAI BERTITIS AIR HUJAN,
TURUN MEMBASAHI BUMI..

Bagai bangkit dari mimpi, aku tersedar dari lamunan,
mengenang suatu keadaan..
bermula dari tanggal 19 Disember 1992,
Hidup ini,
Terasa di uji..

Dari rona pola wajah dan tubuh yang keanak-anakan,
sehingga menumbuh menjadi insan remaja,
insan yang boleh berfikir,
Boleh menimbang,
Boleh memilih..
Keadaan SYURGA dan NERAKA.
Boleh menyangkut beban dosa dan pahala di bahu sendiri..
TIADA SATU KEADAAN YANG AKU TAK PERNAH DI UJI..

Aku manusia..
Aku Islam..
Aku hafaz apa itu Rukun 5..
Aku ingat apa itu Rukun 6..
Jadi bagaimanakah aku menyatakan aku tidak di uji??

Firman Allah SWT:-
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?

(Surah Al-Ankabut : Ayat 2)

Satu persatu ujian tiba..
Ujian DUNIA..
Perihal HATI..
Perihal JIWA..
Perihal IMAN..
Datang bergolek menembus tembok kekuatan,
tembok kepercayaan..
tembok keyakinan..
pada ALLAH SWT..
Itu ujianNya.

Nak lihat sama ada hambaNya bertakwa..
padaNya atau tidak..