Sebagai seorang manusia, sebagai hamba
Allah SWT, kita tak pernah lepas dari sebarang ujian.
Ujian dari Allah SWT dapat saya bahagikan
kepada dua bahagian yang secara fizikal dan juga secara mental. Secara fizikal
yang saya maksudkan di sini adalah sesuatu ujian, dugaan, atau cabaran yang
melibatkan tubuh badan seperti kehilangan anggota badan, dan perkara-perkara
yang sewaktu dengannya. Manakala ujian secara mental yang saya maksudkan adalah
perkara-perkara yang melibatkan hati dan perasaan. Contohnya berkenaan
kehilangan ahli keluarga, dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.
Sebarang ujian yang datang dari Allah SWT
perlulah kita kembali kepadanya tak kira ujian secara fizikal mahupun secara
mental kerana sesungguhnya Allah SWT ingin menguji sebanyak dan sekuat mana
kekuatan iman kita. Perkara ini ditegaskan dalam firman Allah :-
Apakah manusia mengira bahawa mereka akan
dibiarkan hanya dengan mengatakan , "Kami telah beriman," sedangkan
mereka tidak diuji?
(Surah Al-Ankabut_Ayat 2)
Perkara ini jelas menunjukkan bahawa
setiap manusia yang wujud dan hidup di dunia ini, maka Allah SWT akan
mengujinya. Jadi sesungguhnya, kita patut kembali kepada Allah SWT dalam setiap
urusan dan ujian yang mendatang. Walau betapa sukar dan payah kita nak tempuh ujian
tersebut, Janganlah sekali-kali kita menganggap bahawa ujian Allah SWT adalah
seksaan pada kita, kita kembali saja pada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui setiap perkara yang berlaku di dunia ini. Allah pasti
akan memberikan bantuan pada hambanya seperti mana Allah SWT memberikan bantuan
pada orang-orang terdahulu.
Dan di antara manusia ada sebahagian yang
berkata, "Kami beriman kepada Allah," tetapi apabila dia disakiti
(kerana dia beriman) kepada Allah, dia menganggap cobaan manusia itu sebagai
siksa Allah. Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu, nescaya mereka akan
berkata, "Sesungguhnya kami bersama kamu." Bukankah Allah lebih
mengetahui apa yang ada di dalam dada semua manusia?
(Surah Al-Ankabut_Ayat 10)
Berbalik kepada ujian hati dan perasaan,
kita memang selalu menghadapi masalah ini. Sering-sering kita menghadapi
masalah ini ketika kita sebagai manusia semakin meningkat dewasa. Ujian ini
makin hebat ketika kita kian mengenal apa itu erti kasih sayang, cinta dan
sebagainya. Hati dan perasaan kita sering terganggu dek terlalu memikirkan
berkenaan orang-orang 'hidup' dalam pemikiran kita selaku orang yang kita
sayang. (mencari jodoh)
Selalunya kita selalu di uji dengan
munculnya perasaan terhadap seseorang yang kita tidak kenal. Maksudnya perasaan
kasih dan sayang yang wujud selain daripada ahli keluarga kita. Perasaan kasih
sayang dan ingin berpasang-pasangan yang hadir terhadap seseorang hamba Allah
SWT yang lainnya merupakan lumrah alam, sesuai dengan Firman Allah SWT:-
"Dan Kami menciptakan kamu
berpasang-pasangan,"
(Surah An-Naba'_Ayat 8)
Jadi memang jelas, tiada unsur kesalahan
yang wujud apabila kita mula menyayangi seseorang. Tetapi, unsur kesalahan itu
akan wujud sekiranya cara kita mendapatkan kasih sayang itu bertentangan dengan
syariat Allah SWT. Dan cara yang kita nak laksanakan yakni cara kita nak
dapatkan kasih sayang inilah yang saya katakan sebagai salah satu ujian mental
dari Allah SWT. Mengapa saya katakan sedemikian?
Jelas bahawa sesungguhnya perasaan merupakan
satu perkara yang akan mengganggu setiap perlakuan dan tingkah laku kita.
Perasaan mampu membawa kita ke ruang pahala dan mampu juga membawa kita ke
lembah dosa. Perasaan adalah suatu perkara yang sukar nak kita tafsirkan kerana
ianya melibatkan ruang hati. Sesuatu yang kita tak nampak dan sebenarnya sukar
kita nak bentuk dengan tangan kita. Perasaan hanya boleh dikawal dan dibentuk
melalui iman yang ada. Iman itulah yang menjadi 'tangan' untuk kita bentuk
bagaimana acuan hati kita supaya tidak melanggar syariat Allah SWT.
Seharusnya setiap manusia sedar bahawa
sesungguhnya setiap apa yang berlaku didunia, walaupun hanya setitis air jatuh
ke bumi, walaupun hanya seekor nyamuk datang menggigit, walaupun hanya ada
malam selepas siang, ianya sebenarnya ujian dari Allah SWT. Tapi hanya Allah
SWT sahaja yang Maha Mengetahui mengapa ia berlaku sedemikian. Hanya Allah SWT
sahaja yang tahu mengapa perlu hanya air setitis yang jatuh ke bumi, mengapa
hanya seekor nyamuk datang menggigit, mengapa perlu ada siang selepas malam. Semuanya
rahsia Allah SWT.
Allah
mempergantikan malam dan siang. Sungguh pada yang demikian itu, pasti terdapat
pelajaran bagi orang yang mempunyai penglihatan (yang tajam).
(Surah
An-Nur_Ayat 44)
Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu.
Dan
Dialah yang berkuasa atas hamba-hambaNya. Dia Mahabijaksana, Maha Mengetahui.
(Surah
Al-An’am_Ayat 18)
Maka jika datang ujian berkenaan fizikal
mahupun mental, redha, bersabar, berdoa dan bertawakkallah menghadapinya.
Janganlah mengeluh atau menyalahkan Allah SWT atas segala yang berlaku.
Sesungguhnya Allah SWT telah menyediakan sesuatu yang terbaik untukmu di
sebalik ujian yang diberikan. Kembalilah kepada Allah SWT dalam setiap urusan.
Hanya
kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon
pertolongan.
(Surah
Al-Fatihah_Ayat 5)
Dan
milik Allah-lah kerajaan langit dan bumi, dan hanya kepada Allah-lah kembali
(seluruh makhluk)
(Surah
An-Nur_Ayat 42)
Dan
laksanakanlah salat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada Rasul (Muhammad),
agar kamu diberi rahmat.
(Surah
An-Nur_Ayat 57)
No comments:
Post a Comment